Terengganu terkenal sebagai destinasi eksotik dengan panorama yang indah lagi memikat hati pengunjung. Dengan keluasan pesisir air sepanjang 244 km dan berlatarbelakangkan gugusan kepulauan di Laut China Selatan, ia ibarat permata mewarnai lanskap alam semulajadinya. Pulau-pulau seperti Perhentian Besar dan Kecil, Lang Tengah, Redang, Bidong, Kapas, Gemia dan Tenggol dihiasi dengan hamparan pasir pantai yang memutih, kehijauan hutan dan kehidupan marin serta terumbu-terumbu karang dari pelbagai spesis warna dan jenis. Kedamaian dan ketenangan di pulau-pulau ini adalah faktor yang menarik minat pengunjung mencari keriangan di bawah cahaya matahari, beriadah di pantai dan mencari pengalaman mengembara dan meneroka di dasar laut untuk mencipta satu kelainan percutian tropika yang diidamkan.